SEREMBAN, 27 Nov 24 : Majlis Makan Malam Rejimental Sempena Hari Ulang Tahun Rejimen Semboyan Diraja Ke-72 telah diadakan di Hotel Royale Chulan, Seremban. Ketua Pegawai Semboyan merangkap Pengerusi RSD, Brig Jen Dato’ Ts. T.Azharan bin T.Putra dan Isteri, Datin Zaleha binti Ayob turut hadir ke majlis ini.
Majlis penuh rejimental ini buat julung kalinya diadakan secara gabungan Wisma Perwira dan Wisma Bintara RSD melibatkan 726 Pegawai, PTTK dan pasangan. Majlis Makan Malam Rejimental ini diadakan saban tahun sempena menyambut Hari Ulang Tahun RSD yang disambut pada tanggal 15 November. Selain menyambut Hari Ulang Tahun RSD ke-72, majlis ini turut meraikan Pegawai dan PTTK yang telah dan akan menamatkan perkhidmatan di dalam Angkatan Tentera Malaysia bagi tahun 2024 dan 2025. Majlis ini juga turut meraikan 'Dining In' 22 Pegawai Muda yang telah ditauliahkan ke dalam Kor RSD pada tahun 2024.
Turut hadir Pengarah Kanan OS&P, BSEP, Brig Jen Ts. Hamidi bin Achin dan Isteri, Puan Norazlia binti Abd Wahab, Pengarah PI, MDIO, Brig Jen Dr Adnan bin Ajis dan Isteri, Puan Hapizah binti Ismail, SMR Kor RSD PW I Mohammad bin Bahari dan isteri, Puan Nurfarahin binti Syed Mohamed Shukur.