SUNGAI BESI, 15 Nov 24: Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Semboyan Diraja Ke-72 telah diadakan di Padang Kawad Cawangan Rejimental IKED, Kem Perdana Sungai Besi yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Semboyan merangkap Pengerusi Rejimen Semboyan Diraja, Brig Jen Dato' Ts. T.Azharan bin T.Putra.
Perbarisan ini terdiri daripada 15 pegawai dan 257 LLP diketuai oleh Lt Kol Mohd Redzuan bin Osman dan diiringi oleh Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja. Melalui Perutusan HUT RSD ke-72 yang disampaikan oleh Pengerusi RSD, beliau mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Mantan-Mantan Pengerusi Kor dan Ketua Pegawai Semboyan, Mantan-Mantan Pegawai Kanan dan Veteran dari segenap lapisan pangkat yang telah sama-sama menaburkan bakti dalam memacu RSD ke arah kecemerlangan dan kegemilangan.
Beliau turut menzahirkan jutaan terima kasih kepada Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Darat kerana telah memberi sepenuh kepercayaan kepada beliau di dalam menerajui RSD. Amanah dan tanggungjawab selaku Pengerusi RSD akan terus digalas demi memastikan RSD kekal relevan dan mampu memainkan peranan utama di bawah ketumbukan TD.
Seterusnya, perbarisan ini diteruskan dengan acara penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) dan Sijil Kepujian Perkhidmatan Awam.
Majlis diteruskan dengan upacara memotong kek dan jamuan makan di Dewan Makan Desatera, IKED.
Turut hadir, Brig Jen Ts. Hamidi bin Achin, Pengarah Kanan OS&P BSEP, Brig Jen Dr Adnan bin Ajis, Pengarah PI MDIO, Pegawai-Pegawai Kanan RSD, Mantan-Mantan Pengerusi Kor dan Ketua Pegawai Semboyan, mantan-mantan Pegawai Kanan serta Persatuan Veteran RSD.
Sumber: Jab RSD