MERSING, 15 Jan 24: Seramai 2 orang Pegawai dan 30 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) pasukan 21 Skuadron Semboyan Gerak Khas (21 SS GK) terlibat dalam Perbarisan Ketua Skuadron Siri 1/2024 bertempat di Gelanggang Bola Tampar 21 SS GK. Perbarisan ini telah diketuai oleh Lt Mohamad Rozi bin Razali.
Aturcara perbarisan telah dimulakan dengan nyanyian lagu Kor Rejimen Semboyan Diraja dan disusuli dengan pemeriksaan perbarisan oleh Ketua Skuadron 21 SS GK iaitu Lt Kol Ts Fandi bin Hamid. Selain itu, acara serah terima tugas Ketua Kerani dan Sarjan Kuartermaster Skuadron (SKMS) pasukan turut diadakan selepas pemeriksaan perbarisan. Di samping itu, Ketua Skuadron juga turut menyempurnakan penyampaian Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Penghargaan kepada Pegawai dan anggota 21 SS GK yang telah mencurahkan khidmat bakti dan mewakili pasukan dalam pelbagai aktiviti sukan pada tahun 2023.
Ketua Skuadron dalam ucapannya turut mengingatkan agar warga 21 SS GK sentiasa mengekalkan tahap disiplin yang tinggi serta mengamalkan budaya kerja yang positif. Perbarisan telah diakhiri dengan bacaan doa dan acara bergambar bersama semua peringkat Pegawai dan anggota 21 SS GK.
Majlis bacaan yasin dan doa selamat turut diadakan di Bilik Camar Sountern setelah selesai perbarisan bagi memberkati permulaan tahun 2024 untuk pasukan 21 SS GK terus maju dan cemerlang dalam apa jua aktiviti dalam tahun 2024.
Sumber: 21 SS GK