MERSING, 2 Dis 23: Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) 21 Skuadron Semboyan Gerak Khas (21 SS GK) telah mengadakan Majlis Sejambak Budi Semekar Memori bertempat di Dewan Samudera Kampung Stay, Teluk Buih, Mersing. Majlis ini merupakan salah satu aktiviti BAKAT pasukan yang diadakan sekali setahun. Seramai 31 ahli BAKAT pasukan telah hadir bagi menjayakan majlis tersebut. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli BAKAT 21 SS GK, meraikan ahli BAKAT yang telah bertukar keluar dan ahli BAKAT yang akan bersara. Majlis ini turut dihiasi dengan pelbagai aktiviti seperti Suara Emas, pertunjukkan Cat Walk dan Cabutan bertuah.
Selain itu, aktiviti bertukar hadiah di antara ahli BAKAT 21 SS GK juga turut diadakan sebagai tanda jalinan kasih sayang antara satu sama lain. Penyampaian hadiah serta sijil penghargaan kepada ahli BAKAT yang bergiat aktif di dalam pelbagai aktiviti BAKAT pada tahun 2023 dan ahli BAKAT yang akan bersara turut di sampaikan oleh Puan Nur Aiza binti Sahree, Ketua BAKAT 21 SS GK. Majlis ini telah diakhiri dengan ucapan daripada wakil ahli BAKAT yang akan bersara dan seterusnya ucapan balas oleh Ketua BAKAT 21 SS GK.
Sumber: 21 SS GK