SUNGAI BESI, 15 Nov 23: Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Semboyan Diraja Ke-71 telah diadakan di Padang Kawad Cawangan Rejimental IKED, Kem Perdana Sungai Besi yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Semboyan merangkap Pengerusi Rejimen Semboyan Diraja, Brig Jen Dato' Ts. T.Azharan bin T.Putra.
Perbarisan ini terdiri daripada 16 pegawai dan 296 LLP diketuai oleh Lt Kol Mohd Fakhrin bin Ab Aziz dan diiringi oleh Brassband Wanita RSD.
Dalam ucapan Pengerusi, beliau mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada mantan-mantan pengerusi kor, mantan-mantan Ketua Pegawai Semboyan, mantan-mantan pegawai kanan dan veteran dari segenap lapisan pangkat yang telah sama-sama menaburkan bakti dalam memacu RSD ke arah kecemerlangan dan kegemilangan. Beliau juga mengajak mengimbau kembali pencapaian RSD sehingga ke hari ini dengan pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan RSD sentiasa relevan dan terus memberikan khidmat bakti yang cemerlang kepada Tentera Darat dan Angkatan Tentera Malaysia selaras dengan Aspirasi Angkatan Masa Hadapan.
Selain itu, beliau menyeru kepada seluruh ketumbukan RSD untuk terus berusaha meningkatkan kepakaran anggota, pasukan dan kor secara berterusan demi menjaga imej, kelangsungan misi dan tugas yang diamanahkan. Ini selari dengan hasrat Panglima Tentera Darat melalui perintah ulung beliau yang menfokuskan kepada SINERGI 3M (MAN, MACHINE AND METHOD).
Seterusnya, perbarisan ini diteruskan dengan kenaikan pangkat pegawai dan anggota RSD, penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) dan Sijil Kepujian Perkhidmatan Awam.
Majlis diakhiri dengan upacara memotong kek dan jamuan makan di Dewan Makan Desatera, IKED.
Turut hadir, Pegawai Kanan RSD, mantan-mantan Ketua Pegawai Semboyan, mantan-mantan Pegawai Kanan dan veteran-veteran RSD.
Sumber: Jab RSD