SUNGAI BESI, 17 Ogos 23: Institut Komunikasi dan Elektronik Tentera Darat (IKED) telah melaksanakan Upacara Pembukaan Kursus Pegawai Tidak Tauliah Kanan (PTTK) Decentralized Siri 8/2023 yang disempurnakan oleh Komandan IKED, Kol Jaafar bin Hj Ibrahim bertempat di Padang Kawad Induk.
Seramai 93 Lain-Lain Pangkat (LLP) yang terdiri dari pelbagai Kor dan Rejimen di dalam Tentera Darat telah berpeluang menghadiri kursus ini yang mana penuntut akan melaksanakan kursus selama sembilan minggu mulai 14 Ogos hingga 13 Okt 23.
Tujuan kursus ini dilaksanakan adalah untuk melahirkan seorang pemimpin yang cekap, berwibawa dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diarahkan. Objektif pendorong adalah untuk mempersiapkan dan melengkapkan para peserta kursus sebelum menyandang jawatan yang lebih tinggi seperti Kompeni Sarjan Mejar yang berpengetahuan dan berwibawa.
Komandan IKED dalam ucapan beliau menyarankan kepada para penuntut agar berusaha bersungguh-sungguh dan menanamkan minat serta semangat juang yang tinggi bagi mencapai kejayaan dalam kursus ini dan beliau menekankan aspek disiplin sepanjang menjalani kursus.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Jurulatih, Lt Kol Samsudin bin Ahmad, pegawai-pegawai, SMR, KSMJ dan barisan jurulatih.
Sumber: IKED