KUALA LUMPUR, 31 Mei 23: Acara penyerahan bendera RSD kepada Tim Bola Jaring Kor RSD telah dilaksanakan di Auditorium Sany, PESAMA, Kompleks Haigate ATM. Penyerahan bendera Kor telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Semboyan, Brig Jen Dato' Ts T. Azharan bin T. Putra kepada Tim Bola Jaring RSD yang akan bertanding di dalam Kejohanan Bola Jaring Antara Kor Tentera Darat pada 6 hingga 12 Jun 2023.
Objektif acara ini dilaksanakan adalah sebagai penyuntik semangat juang di kalangan pemain-pemain Bola Jaring yang akan mewakili Kor RSD dalam pertandingan tersebut. Ianya juga bagi menyampaikan hasrat KPS serta seluruh warga Kor RSD kepada Tim Bola Jaring Kor agar berjaya menjadi juara dalam pertandingan tersebut.
Seramai 4 pegawai dan 16 anggota LLP yang telah dipilih mewakili Kor RSD dalam pertandingan kali ini. Bendera Kor telah diserahkan oleh KPS kepada Mej Kadzleeza binti Abdul Kadir, wakil Pengurus Tim Bola Jaring RSD.
Dalam ucapan KPS, beliau mengingatkan kejayaan sesebuah pasukan adalah bergantung penuh kepada kerjasama dan persefahaman di kalangan pemain. Selain itu, KPS turut menasihatkan supaya faktor faktor seperti pemakanan, ketahanan mental dan fizikal serta kecergasan diberikan keutamaan dan diperkemaskan dalam masa berbaki 6 hari lagi sebelum kejohanan.
Turut hadir Pegawai Memerintah 91 RSD, Lt Kol Adam Helmy bin Hj Ali selaku penasihat Tim Bola Jaring RSD, PS 1 Kor Jab RSD dan PS 1 Latih Jab RSD.
Sumber: 91 RSD